Pada artikel yang lepas, kita melihat sampai kepada Nabi dilahirkan, diberikan nama Muhammad bin Abdullah. Setelah bayi mulia itu dilahirkan, bayi yang bernama Muhammad itu dibawa kepada Datuknya, Abdul Muttalib.
Dan Abdul Muttalib sangat menantikan cucu itu kerana ia adalah cucu daripada anak yang paling dia sayang (iaitu Abdullah). Dan yang kedua, yang membuatkan dia sangat menantikan bayi itu adalah kerana ayah kepada bayi itu (Abdullah) telah pun wafat. Itulah yang menambahkan kesedihan dan kasih sayang Abdul Muttalib.
Sehingga diketahui oleh seluruh penduduk Mekah dan semua saudara-mara Nabi tahu kata Abdul Muttalib ni lebih-lebih sangat sayang bayi itu. Dan mereka nampaklah dalam kehidupan Abdul Muttalib yang sangat menyayangi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Maka itulah kasih seperti ayah pertama yang dirasai oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam daripada Datuknya sendiri.
Selepas daripada itu, adat orang Arab Mekah ketika itu ialah mereka akan menghantar bayi mereka ke pusat asuhan selama dua tahun sehingga bayi itu bercerai susu. Dan tempat asuhan itu, yang ketika itu paling terkenal adalah perkampungan Bani Sa’ad ibn Bakar.
Hari ni kalau anda pergi ke Mekah, boleh sewa kereta ataupun van untuk pergi ke satu tempat yang bernama As-Sa’diyah, sampai ke hari ni. Dan rumah tempat Nabi dibesarkan di perkampungan Bani Sa’ad itu, sehingga hari ini diletakkan petanda, petunjuk kepada rumah tersebut, iaitulah rumah ibu susu Nabi yang sangat terkenal, Halimatus Sa’diah.

Adat orang Arab waktu tu, mereka akan hantar bayi-bayi ni ke pusat asuhan tu selama dua tahun. Dan dia punya upah mahallah, sebab lama duk di sana. Mengasuh, mengasuh duk sana terus.
Ada beberapa sebab, dan kenapa orang Arab ketika itu menghantar bayi mereka ke sana? Antara sebab yang digariskan oleh sejarawan Islam adalah:
- Udara di kampung lebih segar (Mekah dah jadi bandar, ramai orang asing).
- Bahasa Arab di kampung lebih fasih.
- Anak-anak di kampung membesar dengan sihat, makan makanan yang segar, udara yang segar.
- Bahasa Arab yang lebih baik.
- Mereka belajar hidup yang lebih lasak dan lebih berdikari seperti bercucuk tanam, mengembala kambing, binatang ternak, hidup dengan suasana kampung yang lebih lasak dan lebih kendiri (berdikari).
Itu antara beberapa sebab kenapa ketika itu budaya ataupun adat itu diamalkan waktu tu. Dan Nabi juga tidak terlepas, maka Nabi juga dibesarkan di perkampungan Bani Sa’ad yang terkenal dengan kefasihan lidah mereka.
Maka Nabi SAW pernah sebut:
أَنَا أَعْرَبُكُمْ، أَنَا قُرَشِيٌّ، وَاسْتُرْضِعْتُ فِي بَنِي سَعْدِ بْنِ بَكْرٍ
“(Aku adalah bangsa Arab yang paling fasih. Tambahan lagi aku daripada Quraisy – Quraisy terkenal dengan kefasihan. Lebih pula lagi, aku dibesarkan/disusukan di perkampungan Bani Sa’ad bin Bakar – yang juga terkenal dengan kefasihan).
(HR. Ibnu Hisyam)
Sebab tu, Nabi begitu fasih apabila berbicara. Sehingga sebahagian ayat Nabi, bila Nabi nak terangkan sesuatu, sahabat akan tanya, “Ma kaza kaza ya Rasulullah? (Apa maksud sekian-sekian wahai Rasulullah?)”.
Jadi bila kita baca sirah, baru kita dapat kait pula nanti dengan hadis yang banyak, yang ratus ribu kita baca tu, “Oh patutlah Rasulullah ni digelar Jawami’ul Kalim” (Kata-kata yang ringkas tetapi padat maknanya). Perkataan beliau, perkataan yang sangat ringkas, padat, merangkumi banyak makna. Subhanallah. Jadi sebab apa? Sebab inilah.
فُضِّلْتُ عَلَى الأَنْبِيَاءِ بِسِتٍّ أُعْطِيتُ جَوَامِعَ الْكَلِمِ وَنُصِرْتُ بِالرُّعْبِ
Maksud: “Aku diberi kelebihan dibandingkan nabi-nabi sebelumku dengan 6 perkara; aku diberi Jawami’ al-Kalim, aku ditolong dengan rasa takut yang disematkan di hati para musuh.”
(HR Muslim, no. 523)
Jadi, maka pada ada satu tahun itu, wanita-wanita daripada Bani Sa’ad datang ke Kota Mekah untuk mencari bayi yang akan disusukan dan diambil upahlah.
Jadi, Halimatus Sa’diah dengan suaminya al-Harith ni sampai lambat sikit. Bila depa sampai, bayi-bayi lain telah pun diambil, upah dibayar dan telah pun dibawa balik. Tinggal hanya seorang bayi saja. Halimah dengan suami dia ni duk rasa pelik dah. “Kenapa bayi ni tak ada orang ambil?”. Bayi itu adalah Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Jadi dia pun tanya, “Di mana ayah dia? Kerja apa?” sebagainya. Mereka pun sebut, bayi itu adalah bayi yang yatim, ayah dia meninggal. Maka barulah Halimah dan suami dia faham, “Patutlah orang tak ambil bayi ni, anak yatim.” “Dan apa sangatlah yang ibu dan datuknya mampu lakukan/bayar?”. Dan mereka kata, “Sebanyak mana yang Datuk dengan mak dia boleh bayar kat kita? Ayah dia pun tak ada ni, anak yatim ni. Patutlah orang tak mahu.”
Halimah dan suami dia menolak pada peringkat awal. Tapi sebelum mereka nak bertolak balik, Allah Subhanahu Wa Ta’ala mencampakkan perasaan kasih yang tinggi ke dalam hati Halimah. Dan beruntunglah kamu wahai Halimatus Sa’diah dan seluruh ahli keluarga kamu kerana kamu bakal membesarkan, kamu bakal menyusukan seorang ketua syurga, bahkan Sayyidul Khalqi Ajma’ (Penghulu Sekalian Makhluk). Beliau adalah penghulu segala makhluk yang diciptakan oleh Allah keseluruhannya.
Halimah pun ambil bayi yang bernama Muhammad tadi, dia pun bawa balik. Perkampungan As-Sa’diah itu lebih kurang dua hingga tiga jam daripada Kota Mekah. Tapak rumah Halimatus Sa’diah masih ada. Rumah tu tak ada dah lah. Penandaan, tapak tanda tu masih ada. Mereka tanda ajalah, bukan rumah asal.
Maka bertolak baliklah Halimatus Sa’diah dan suaminya ke perkampungan tersebut.
Hari berlalu, berganti minggu, berganti bulan. Halimatus Sa’diah melihat keajaiban dan perubahan yang berlaku dalam keluarga beliau. Begitu juga suami beliau. Iaitulah makanan mereka bertambah-tambah, rezeki mereka menjadi luas dan menjadi senang dan mudah. Ketika mana tanaman orang lain kering, tanaman mereka menghijau. Ketika mana binatang-binatang ternak orang lain mati dan tidak bersusu, binatang ternak Halimatus Sa’diah dan suaminya al-Harith membiak-biak dengan susu yang penuh.
Perkara ini disedari oleh Halimatus Sa’diah dan suaminya dan mereka yakin ini adalah dengan kehadiran Muhammad ibn Abdullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Tapi mereka tak tahu kenapa bayi ni ada ‘apa’?
Penduduk kampung mula menghasad dah, dengki dah tengok Halimatus Sa’diah. Dan mereka pergi ke rumah Halimatus Sa’diah, mereka kata, ” (Kamu wahai Halimah, telah mengambil jiwa/bayi yang penuh berkat). “Kamu wahai Halimah, kamu sekeluarga keluarga telah memperolehi satu bayi yang penuh dengan keberkatan.” Masya-Allah.
Lepas habis Nabi membesar di perkampungan Bani Sa’ad dua tahun, dengan cara kampung, udara yang segar, belajar lasak, makan makanan yang sihat elok apa semua, Halimatus Sa’diah tak mahu melepaskan Nabi. Halimatus Sa’diah tak mahu lepaskan Nabi. Orang lain semua pakat hantar dah bayi balik ke Kota Mekah. Dah dapat upah yang banyak dan sebagainya.
Halimatus Sa’diah pergi juga ke Kota Mekah. Kali ni bukan untuk menghantar Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, tapi kali ni nak pujuk mak Nabi, “Wahai Aminah, boleh tak kali ni kami nak minta jaga?” Macam tu ja. “Kami nak minta jaga kali ni, bukan dengan upah dah. Hari tu (dulu) upah.”
Bayangkan, sebelum menjadi rasul, telah ditunjukkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala betapa barakahnya diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Dan perkara luar biasa yang berlaku kepada bakal Nabi ini dipanggil ataupun disebut dalam kitab tauhid sebagai al-Irhas. Kalau selepas jadi nabi, dia panggil mukjizat. Tapi sebelum jadi nabi dan rasul, ia dipanggil al-Irhas. Itu antara al-Irhas, benda luar biasa pertama yang berlaku dalam hidup Rasulullah, iaitulah beliau mula mengalirkan keberkatan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada orang yang berada di sekeliling Baginda Rasulillah Sallallahu Alaihi Wasallam walaupun ketika itu masih bayi.
Halimatus Sa’diah pi Kota Mekah, minta izin, dia pujuk, dia pujuk. Aminah ni masih muda. Sayidatina Aminah masih muda. Kematian suami, dapat-dapat anak kena jauh dengan anak. Tiba-tiba Halimatus Sa’diah datang pujuk pula. Dengan berat hati, Saidah Aminah bintu Wahbin, dia pun setuju. “Tak apalah bawa balik Rasulullah ni, bawa balik Muhammad ini. Tak apa jagalah sebab dia nak jaga kali ni.” Offer untuk jaga.
Maka untuk kebaikan bayi ini, untuk kebaikan bayi ini membesar di perkampungan Arab, di pedalaman, dengan sihat, makan makanan sihat, lasak, tunggang kuda, cucuk tanam, mengembala kambing, belajar Bahasa Arab dengan baik di sana. Maka As-Sayidah Aminah atas faktor-faktor inilah dia membenarkan. Maka Halimah begitu seronok bawa balik Nabi. Keberkatan masih mengalir di dalam rumah mereka sehingga dilihat oleh penduduk kampung itu bagaimana melimpah limpah ruah keberkatan dan kebahagiaan dalam rumah tu. Allah gantikan rumah itu dengan kebahagiaan, keceriaan, keberkatan yang begitu banyak.
Sehinggalah pada satu hari, Halimatus Sa’diah membuat keputusan untuk menghantar pulang Muhammad ibn Abdullah. Kenapa? Sebab pada satu hari ketika Nabi berusia 5 tahun lebih ataupun kita sebut 6 tahun lah. Waktu Nabi berumur 5 tahun 3 bulan lebih kurang, seperti mana pendapat yang dipilih oleh sebahagian para ulama. 5 tahun tu, datang malaikat Jibril alaihissalam. Dalam satu riwayat Sahih Bukhari disebutkan dua orang malaikat.
“Telah datang kepadanya (Rasulullah) dua malaikat ketika beliau berada di perkampungan Bani Sa’ad bin Bakar). Dalam hadis riwayat al-Imam al-Bukhari disebutkan waktu Nabi sedang bermain. Nabi manusia biasa, kanak-kanak. Nabi duk main bermain-main dengan adik-beradik susuan Nabi yang lain di belakang rumah Halimatus Sa’diah. Waktu itulah didatangi Jibril dan seorang lagi malaikat dengan rupa paras manusia. Lalu Jibril membaringkan Nabi. Lalu bertempiaran larilah adik-beradik Nabi yang lain dalam keadaan yang begitu pantas. Jibril membelah dada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Lalu dikeluarkan sesuatu, lalu dicuci hati tu, lalu dimasukkan semula dan dijahit semula oleh Jibril alaihissalam.
Teknologi? Teknologi apa, wallahua’lam ketika itu. Kesan jahitan itu, kata as-Syeikh Abul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi, masih ada kesan, kesan dijahit tu. Macam saya pernah bedah di sini, kalau buka ni nampaklah parut. Rasulullah pun ada parut di sini. Nabi pernah dibelah sebanyak dua kali. Yang pertama di perkampungan Bani Sa’ad. Yang kedua pada malam sebelum Nabi di Mikraj, di Israk Mikraj kan. Itulah dua kali hadis sahih Nabi ceritakan pengalaman beliau disucikan hatinya daripada kecil sebab nanti nak jadi seorang pemimpin yang hebat memimpin seluruh manusia sampailah ke hari kiamat.
Jadi, adik-beradik lain lari masuk dalam rumah, cari mak ayah mereka. Kampung kan. Ayah kadang duk di depan sana duk tengok kambing apa, mak duk cucuk tanam. Halimatus Sa’diah dan al-Harith pun balik. Bila balik dengan keadaan yang tergesa-gesa, mereka melihat Muhammad ibn Abdullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam keadaan terbaring, telentang macam tu, muka yang penuh pucat dan ketakutan. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, waktu tu umur Muhammad bin Abdullah masih kecil. Lalu mereka pun pangku Nabi Muhammad, tanya, “Wahai Muhammad, apa jadi wahai Muhammad?”. Nabi pun cerita, “Seorang… seorang pemuda… seorang bayi… seorang kanak-kanak yang cerdik.” Nabi pun cerita, “Tadi datang dua orang lelaki sekian sekian…” Nabi cerita.
Maka Halimah pun tengok suami dia. mereka pun takut. Takut-takut ada cubaan bunuh kepada kanak-kanak ni. Maka mereka pun ambil keputusan untuk menghantar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ke Kota Mekah kembali ke pangkuan ibu dia.
Itulah saat dan detik yang sangat bahagia dalam diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kembali kepada ibu kandung beliau Aminah binti Wahab. Saidatina Aminah pun tak kata apa-apa, maksudnya tak tuduh apa-apa. Dia pun seronok. Dia pun mula jaga anak dia, anak kandung dia sendiri.
Dan selepas beberapa bulan, selepas beberapa bulan tak sampai setahun, Saidatina Aminah membesarkan Nabi. Beberapa bulan tak sampai setahun, dia pun ajak Nabi untuk ziarah kubur ayah Rasulullah. Ayah Nabi dulu ni keluar pergi meniaga di Syam, dalam perjalanan balik sakit dan meninggal dunia dekat dengan Madinah al-Munawwarah dan dikebumikan di situ berdekatan dengan Madinah. Mak Rasulullah ajak, “Wahai Muhammad, jom kita ziarah kubur ayah. Muhammad tak pernah tengok ayah. Kita tengok kubur ayah. Kita pi sekali tengok saudara-mara, tok-tok saudara apa semua ni.” Adalah tok saudara, sepupu ke, pak saudara ke, belah-belah mak kan. Ada di Madinah. Maka bertolaklah Rasulullah dengan Aminah dan juga ditemani dengan seorang hamba abdi perempuan yang bernama Ummu Aiman Barakah al-Habasyiah.
Jadi, dah ke sana, dah ziarah pak saudara, tok saudara apa semua ni, dalam perjalanan pulang, Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekali lagi menguji kanak-kanak yang bernama Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ini dengan kehilangan orang yang paling dia sayang dalam hidup dia. Orang yang baru dia kenal untuk mendapatkan kasih daripada ibu kandung dia. Faham kan? Maksudnya Nabi duk di kampung, dulu ayah meninggal, tak dapat tengok muka ayah, membesar pula jauh dengan mak. Umur 5 tahun lebih balik duk dengan mak. Baru berapa bulan duk dengan mak, tak sampai setahun, Allah uji sekali lagi.
Ini yang kata ujian Nabi besar, bukan macam ujian yang saya hadap, bukan macam ujian yang anda hadap. Nak berasa kuat dengan ujian hidup, tengok bagaimana Rasulullah diuji oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Besar ujian Nabi. Ujian yang Nabi hadap adalah ujian yang besar, banyak.
Maka Nabi pun dibawa balik oleh Ummu Aiman Barakah al-Habasyiah. Baliklah yatim piatu itu. Kanak-kanak yang masih kecil daripada bumi Madinah nak balik ke Mekah. Jauh pula bersama dengan Ummu Aiman. Dan akhirnya Ummu Aiman menyerahkan Rasulullah kepada Datuknya. Bertambah sedihlah Datuk tadi ni. Dia tengok cucu. Boleh bayangkan Datuk dengan cucu. Datuk dengan cucu ni dia lain sikit, dia rapat. Datuk dengan cucu selalunya sangat rapat. Dah ayah meninggal, mak pula meninggal. Abdul Muttalib memeluk Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Peluk sebab tengok cucu kehilangan mak pula tempat bergantung.
Sebab tu Abdul Muttalib sangat sayangkan Nabi sehingga benda tu diperhatikan oleh seluruh penduduk Mekah. Mereka tahu Abdul Muttalib sangat sayangkan Nabi. Bermulalah detik ketika itu Abdul Muttalib memelihara Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermula daripada umur 6 tahun dan Nabi pun hidup bersama Abdul Muttalib.
Semoga perkongsian ringkas dari episod Sirah Rasulullah ﷺ ini memberi manfaat dan menambahkan kecintaan kita kepada Baginda Nabi Muhammad ﷺ.







