Bayangkan ada taman indah dari syurga, di tengah-tengah Masjid Nabawi. Itulah yang dikatakan oleh Nabi Muhammad SAW tentang Raudhah. Kawasan istimewa ini terletak antara rumah Rasulullah dan mimbar tempat baginda berkhutbah. Di sinilah tempat segala ibadah menjadi lebih utama; solat, berzikir, berdoa, dan membaca Al-Quran.
Betapa Luasnya Raudhah Ini?
Jarak antara mimbar dan rumah Rasulullah lebih kurang 26.5 meter. Sebuah pagar tembaga kuning mengelilingi Rumah Rasulullah, sebahagian Raudhah terlindung di belakang pagar tersebut. Bermakna, kalau diukur dari mimbar ke pagar tembaga, luasnya sekitar 22 meter panjang dan 15 meter lebar!
Tanda-Tanda Utama di Sekitar Raudhah
- Mimbar Nabi: Di sini Rasulullah SAW berdiri membimbing solat umat Islam. Mimbar yang ada sekarang diperbuat pada tahun 998 Hijrah dan bertangga dua belas.
- Mihrab Nabi: Tempat Rasulullah SAW mengimamkan solat. Mihrab yang ada sekarang dibina pada tahun 888 Hijrah, dan dibaik pulih semasa pemerintahan Raja Fahd pada tahun 1404 Hijrah.
- Tiang-tiang: Inilah tiang yang menyokong bumbung Raudhah. Ketika hayat Rasulullah, tiang-tiang ini diperbuat daripada batang kurma! Setiap tiang ada sejarah tersendiri.
- Rumah Rasulullah: Di sinilah Rasulullah bersama isterinya Saidatina Aisyah tinggal.
Kerajaan Arab Saudi Sangat Menjaga Raudhah
Kerajaan Arab Saudi menitikberatkan penjagaan Raudhah, sebagai tanda kasih kepada Rasulullah. Mimbar Nabi misalnya, selalu disaluti emas cair. Mihrab Nabi juga dibaik pulih, ditambah sokongan konkrit dan dihias dengan marmar. Tiang-tiang di Raudhah dibalut marmar putih, supaya jelas kelihatan berbeza dengan tiang-tiang lain di masjid. Karpet mewah menghiasi lantai Raudhah. Rumah Rasulullah dan Kubah Hijau mendapat perhatian paling utama sekali!
Nak Ziarah Raudhah?
Perlu buat tempahan dulu guna aplikasi Nusuk (dulu dikenali sebagai Tawakkalna). Masa ziarah perlu ikut jadual ditetapkan. Masa melawat, ingat adab ya. Bertenang, sopan santun dan jangan berebut-rebut supaya suasana aman terjaga. Ingat pesan Nabi, “Orang Islam sejati ialah orang yang selamatkan orang lain dari lidah dan tangannya.“








