bi'r maunah, bir maunah

Biʾr Maunah. Nama yang mungkin jarang didengar, tetapi kisahnya penuh dengan pengorbanan dan keberanian yang tak terhingga. Bulan Safar 4 Hijrah menjadi saksi kepada dua peristiwa tragis, iaitu Insiden Rajiʿ dan Tragedi Biʾr Maunah, yang mengakibatkan syahidnya beberapa orang Sahabat Nabi. Ini adalah bulan yang sangat menyedihkan bagi Rasulullah ﷺ, yang sangat terkesan dengan kehilangan para sahabat baginda.

Siapa yang Terlibat?

Sebanyak 70 Sahabat terlibat dalam ekspedisi ini.

Mereka bukan orang biasa. Empat daripada mereka adalah dari kalangan Muhajirin, sementara selebihnya adalah Anṣar.

Nama-nama besar yang terlibat termasuklah:

  • Harith b. Simma
  • Ḥaram b. Milḥan
  • Urwa b. Asmaʾ al-Sulami
  • Nafiʿ b. Budayl
  • Amir b. Fuhaira, bekas hamba Saidina Abu Bakr al-Ṣiddiq

Kehidupan Seharian Para Sahabat

Mereka adalah “Qurra”—gelaran yang diberikan kerana mereka sentiasa meluangkan masa mengaji al-Quran setiap malam di Madinah. Pada siang hari, mereka mengumpul air di masjid untuk para jemaah yang datang solat dan menjual kayu untuk menyara golongan miskin.

Mereka bukan hanya beribadah, tetapi juga melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi untuk membantu masyarakat. Pendek kata, hidup mereka berpusatkan kepada agama dan membantu sesama.

Bagaimana Tragedi Ini Bermula?

Semua bermula apabila seorang Musyrik bernama Abu al-Barraʾ atau Amir bin Malik datang kepada Nabi ﷺ dengan hadiah dua ekor kuda dan unta. Nabi menolak hadiah tersebut dan sebaliknya mengajak Amir bin Malik kepada Islam. Walaupun tidak menerima Islam, Amir bin Malik berkata, “Saya anggap cara kamu sangat mulia. Jika kamu hantar beberapa sahabat kamu bersama saya, saya percaya mereka akan diterima oleh kaum saya.”

Nabi ﷺ merasa risau akan keselamatan para sahabat di kalangan kaum Najd, tetapi Amir bin Malik memberikan jaminan bahawa mereka tidak akan disakiti.

Misi yang Tragis

Delegasi dihantar dengan dipimpin oleh Mundzir bin Amr (bapa saudaranya Anas bin Malik), bersama surat kepada para pemimpin Najd. Mereka berhenti di sebuah perigi yang dikenali sebagai Biʾr Maunah. Dari sini, Haram bin Milhan diamanahkan untuk menyampaikan surat Nabi kepada pemimpin tempatan, Amir bin Tufail (Anak saudara kepada Abu Barra).

Amir bin Tufail terkenal dengan sikap yang dirinya amat membenci Baginda Rasulullah ﷺ dan Islam itu sendiri.

Namun, ketika Haram bin Milhan tiba, dia tidak dilayan dengan baik. Malah, dia dibunuh dengan kejam ketika sedang berbicara dengan kaum tersebut.

Pengorbanan yang Tiada Tolok Banding

Haram bin Milhan menjadi syahid pertama dalam insiden ini. Dia sempat mengucapkan, “Allah Maha Besar! Demi Tuhan Kaʿbah, aku telah berjaya,” sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Kemudian Amir bin Tufail menggerakkan Bani Amir untuk menyerang para sahabat yang lainnya, tetapi Bani Amir menolaknya dan berkata,

“Kami tidak akan mengkhianati Abu Barra‘ (Amir bin Malik)”.

 Lalu Amir bin Tufail meminta bantuan kepada kabilah-kabilah Sulaim dari suku Ushaiyyah, Ri‘iI dan Dzakwan. Kabilah-kabilah ini menyambut ajakan Amir bin Tufail lalu mengepung dan menyerang mereka.

Sahabat-sahabat lain juga tidak terkecuali. Mereka memilih mati syahid daripada hidup dalam kehinaan. Setiap seorang dari mereka gugur sebagai pahlawan yang gagah.

Di antara para sahabat yang diutus terdapat dua orang sahabat yang tidak menyaksikan pengkhianatan ini iaitu Amr bin Umayyah dan Mundzir bin Muhammad. Kedua sahabat ini tidak mengetahui berita terjadinya pengkhianatan tersebut kerana keluar berjalan jauh untuk mencari keperluan sehingga keduanya datang membantu saudara-saudaranya.

Amr berkata kepada Mundzir, “Marilah kita pulang ke Madinah, dan memberitahukan kejadian ini kepada Rasulullah ﷺ!”. Tetapi Mundzir bin Muhammad enggan pulang dan dia berkeras untuk tidak pulang sebagai orang yang tidak bertanggungjawab dan dia pun syahid bersama yang lain.

Sementara Amr bin Umayyah dilepaskan dan kembali ke Madinah. Sebab dia dilepaskan kerana ibu kepada Amir bin Tufail pernah bernazar untuk membebaskan hamba dari kalangan Bani Mudhar, dan kebetulan Amr bin Umayyah dari Bani Mudhar.

Di tengah perjalanan, dia bertemu dengan dua orang Musyrik yang disangkanya dari Bani Amir. Lalu kedua orang itu dibunuhnya. Setelah sampai kepada Rasulullah ﷺ dan diceritakan tragedi tersebut, rupanya kedua orang itu dari Bani Kilab dan telah mendapatkan jaminan dari Nabi. Kemudian Nabi ﷺ bersabda,

“Engkau telah membunuh dua orang. Aku harus membayar diyatnya.“ 

Tindakan ini mencetuskan kemarahan dan konflik lebih lanjut, termasuk perang Bani Nadhir.

Doa Qunut: Reaksi Nabi Muhammad ﷺ

Rasulullah ﷺ merasakan kesedihan yang mendalam atas kematian delegasi yang semuanya itu adalah sahabat baginda, sehingga selama sebulan penuh Rasulullah ﷺ melakukan qunut semasa solat subuh mendoakan kecelakaan ke atas kabilah Ri‘I, Dzakwan, Bani Lihyan dan Ushaiyyah. Peristiwa tersebut diceritakan dalam banyak riwayat, diantaranya:

Dari Anas R.A, dia berkata,

“Nabi ﷺ pernah mengutus tujuhpuluh orang untuk suatu keperluan, mereka disebut sebagai Qurra`(para ahli al Qur’an), mereka di halang oleh penduduk dari bani Sulaim, Ri’l dan Dzakwan dekat perigi yang disebut dengan Bi’r Ma’unah, mereka berkata, ‘Demi Allah, bukan kalian yang kami inginkan, kami hanya ada perlu dengan Nabi ﷺ’ Mereka akhirnya membunuh para sahabat tersebut, maka Nabi ﷺ mendoakan kecelakan kepada mereka(Sulaim, Ri’l dan Dzakwan) selama sebulan pada solat subuh, itu adalah pertama kali dilakukan qunut, sebelumnya kami tidak pernah melakukan do’a qunut.”  (Riwayat al-Bukhari)

Inilah permulaan Qunut Nazilah, doa khusus yang dibacakan ketika umat Islam ditimpa musibah besar.

Pesanan Terakhir Para Syuhada

Rasulullah ﷺ menyampaikan pesan dari para syuhada kepada umat Islam, “Mereka berkata, ‘Kami redha dengan Allah, dan Allah redha dengan kami!’”

Kisah ini menjadi pengajaran buat kita tentang keberanian, pengorbanan, dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang besar.

Siapa yang Masih Hidup?

Daripada insiden ini, hanya tiga sahabat yang terselamat:

  1. Kaʿab bin Zaid al-Badri – Beliau ditemui dalam keadaan cedera parah tetapi masih hidup. Beliau akhirnya syahid dalam Perang Khandaq pada tahun 5 Hijrah.
  2. Amr bin Umayyah – Beliau yang kemudian menyampaikan berita tragis ini kepada Rasulullah ﷺ.
  3. Seorang Sahabat yang menemani Haram bin Milhan, yang mempunyai kecacatan pada kaki dan berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat gunung.

Inspirasi dan Pengajaran

Kisah Biʾr Maunah bukan sekadar sejarah.

Ia adalah cerminan kepada pengorbanan dan dedikasi yang luar biasa.

Walaupun kezaliman berlaku, semangat para sahabat yang tetap setia kepada tugas mereka sehingga akhir hayat menjadi inspirasi kepada umat Islam sehingga hari ini.

Lokasi Bi’r Maunah, yang terletak sejauh 130km dari Masjid Nabawi, kini menjadi tapak sejarah yang mengingatkan kita tentang pengorbanan besar para sahabat Nabi dalam menyebarkan ajaran Islam.

Semoga kita semua mendapat manfaat dari pengajaran yang terdapat dalam kisah ini.

lokasi bi'r maunah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *