Masjid Ad-Dhirar, juga dikenali sebagai Masjid Munafik, adalah sebuah masjid yang dibina oleh sekumpulan orang munafik di Madinah. Masjid ini terletak berdekatan dengan Masjid Quba’, masjid pertama dalam sejarah Islam.
Masjid ini dibina atas arahan seorang rahib Kristian bernama Abu ‘Amir yang enggan menerima ajakan Nabi Muhammad ﷺ kepada Islam. Abu ‘Amir berjanji akan membawa tentera Heraclius, Maharaja Rom, untuk melawan Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat serta mengusir mereka dari Madinah.
Ketika Masjid Ad-Dhirar siap dibina, para pembinanya mengundang Nabi Muhammad ﷺ untuk berdoa di dalamnya agar masjid tersebut mendapat restu baginda. Nabi ﷺ menerima undangan itu dan berjanji akan berdoa di sana selepas pulang dari Perang Tabuk. Baginda ﷺ bersabda:
إِنِّي عَلَى جَنَاحِ سَفَرٍ، فَلَوْ قَدْ رَجَعْنَا إِنْ شَاءَ اللهُ أَتَيْنَاكُمْ فَصَلَّيْنَا لَكُمْ فِيهِ
“Sesungguhnya aku sedang bersiap untuk safar, kalaulah aku pulang, In Sha Allah aku akan mendatangi kalian dan solat padanya (Masjid Ad-Dhirar).”
Namun, selepas Nabi ﷺ pulang dari perang, Jibril menyampaikan wahyu kepada baginda mengenai niat jahat di sebalik pembinaan masjid itu. Masjid Ad-Dhirar dibina dengan tujuan untuk menyebarkan kekufuran, memecah-belahkan perpaduan orang-orang mukmin dan menjadi tempat persinggahan bagi mereka yang memerangi Allah dan Rasul-Nya.
Oleh itu, Nabi Muhammad ﷺ menghantar beberapa orang sahabat untuk memusnahkan masjid tersebut sebelum baginda tiba di Madinah. Masjid Ad-Dhirar dibakar dan dirobohkan sehingga menjadi tempat pembuangan sampah.
Apa yang Terjadi Setelah Masjid Ad-Dhirar Dihancurkan
Setelah Nabi Muhammad ﷺ memerintahkan para sahabat untuk memusnahkan Masjid Ad-Dhirar, beberapa hal terjadi:
Pengumpulan Sampah di Lokasi
Nabi Muhammad ﷺ juga memerintahkan para sahabat untuk mengumpulkan sampah di lokasi bekas Masjid Ad-Dhirar. Ini menunjukkan betapa Nabi ﷺ ingin menghapus segala jejak dari masjid yang didirikan dengan niat jahat tersebut.
Larangan Bersembahyang di Masjid Ad-Dhirar
Dalam Surah at-Taubah ayat 107-108, Allah SWT melarang Nabi Muhammad ﷺ dan umatnya untuk bersembahyang di Masjid Ad-Dhirar selama-lamanya. Sebaliknya, Allah SWT menggalakkan mereka bersembahyang di Masjid Quba’ yang dibina di atas dasar takwa sejak hari pertama.
وَالَّذينَ اتَّخَذوا مَسجِدًا ضِرارًا وَكُفرًا وَتَفريقًا بَينَ المُؤمِنينَ وَإِرصادًا لِّمَن حارَبَ اللَّهَ وَرَسولَهُ مِن قَبلُ ۚ وَلَيَحلِفُنَّ إِن أَرَدنا إِلَّا الحُسنىٰ ۖ وَاللَّهُ يَشهَدُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ
Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta tempat kumpul orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan”. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya).لا تَقُم فيهِ أَبَدًا ۚ لَّمَسجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقوىٰ مِن أَوَّلِ يَومٍ أَحَقُّ أَن تَقومَ فيهِ ۚ فيهِ رِجالٌ يُحِبّونَ أَن يَتَطَهَّروا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُطَّهِّرينَ
Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang suka membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.
Penggunaan Tanah Bekas Masjid Ad-Dhirar
Setelah Masjid Ad-Dhirar dirobohkan, tanah bekas masjid itu tetap terbengkalai dan tidak ada yang berani membangun di atasnya. Ketika Nabi ﷺ mengizinkan Asim bin Adi untuk membangun rumah di situ, Asim menolak kerana takut tempat itu terkutuk. Akhirnya, Nabi ﷺ memberikan tanah itu kepada Thabit bin Aqram.
Namun, sejak Thabit tinggal di situ, tidak ada anak yang lahir atau binatang peliharaan yang dapat bertahan hidup di situ. Jadi, peristiwa penghancuran Masjid Ad-Dhirar menunjukkan betapa Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat sangat tegas dalam menangani ancaman perpecahan dan kemunafikan di dalam umat Islam. Lokasi bekas masjid itu pun dianggap terkutuk sehingga tidak ada yang berani membangun di atasnya.







